DOA BUAT KU..

“Ya Allah perindahkanlah akhlak ku seperti mana indahnya akhlak Rasulullah s.a.w , tenangkanlah hati ku bagai tenangnya air di tasik, dan serikanlah wajahku bagai bercahayanya bulan purnama di hari berserinya wajah orang-orang beriman…. Amin”

Wednesday, 30 November 2011

SELAMAT PENGANTIN BARU ATHIRA...moga syurga menjadi ganjaran buat mu



Segala kebaikan dalam perkhawinan akan menyusul kemudiannya apabila niat bertunjangkan keikhlasan . Maka , natijah yang diperolehi juga pasti baik dan diredhai . Itulah hikmahnya Allah menyuruh ikatan perkhawinan itu dilakukan . Apa yang penting , jangan disoal kerja TUHAN.


Kedua belah tangan diangkat untuk merafakkan pengharapan daripadaNYA, moga syurga menjadi ganjaran buatmu...." Ya Allah ,  permudahkanlah liku liku perjalanan hidup kami dan lukiskanlah setiap langkah kami ini dengan corak bahagia yang berpanjangan. Mudah mudahan perjalanan kami ini direstuiMu dan dilimpahi cahaya cinta yang berterusan hingga ke akhirnya . Terima kasih ya Allah kerana menganugerahkan pasangan yang menjadikan agama sebagai tunjang kehidupan . Moga moga dia mampu mengemudi mahligai bahagia ini ke arah yang diredhai dan dirahmatinya , juga dapat memimpin setiap ahli di dalamnya ke arah cinta MU . Amin "

Percayalah , tiada perkara yang tiada masalah dan tiada keadaan yang tiada kesusahan . Maka , laluilah ia sebagai proses kematangan dalam hidup dan bukan menolak sebuah pernikahan atau perkhawinan dengan berbagai alasan . Tiada apa yang perlu dibimbangkan kerana tiada masalah yang tiada penyelesaian.

AKU PASTI TENTANG ITU....TQ ALLAH.

29hb November 2011 - saya mengetuai sesi senamseni untuk Sambutan Hari Keluarga dan Sukaneka PDK Negeri Melaka 2011. Bertuah dan istimewanya insan insan ini, mereka amat mengagumkan saya ...bayangkanlah dalam keadaan sifat diri yang kekurangan , mereka masih mampu tersenyum dan bahagia seperti insan lain yang sempurna.











PESERTA CILIK YANG COMEL DAN PANDAI BERAKSI BILA MUSIK DIPUTARKAN


Betapa beruntungnya kita , yang mana cukup anggota badan dan sempurna akal fikiran ...sentiasalah kita bermuhasabah diri dan memanjatkan rasa kesyukuran diatas kesempurnaan yang dikurniakan oleh Allah S.W.T .
Thank you Allah.....saya sentiasa berharap agar , setiap kurniaan ini menjadikan saya hamba yang sentiasa bersyukur dan lebih patuh serta tunduk kepadaNYA. Bukan menjadi hamba yang lalai , apalagi takbur , bongkak, derhaka serta ingkar pada perintah NYA. Lantas saya titipkan doa kepada Rabbuljalil :

" YA ALLAH , AKU BERMOHON PADA MU , JADIKANLAH AKU HAMBA YANG SENTIASA BERSYUKUR ATAS SEGALA NIKMAT YANG TELAH ENGKAU KURNIAKAN . JADIKAN AKU HAMBA YANG PEMURAH DAN RINGANKANLAH TANGAN INI UNTUK BERKONGSI NIKMAT YANG TELAH ENGKAU TABURKAN . JAUHILAH DIRI INI DARI MENJADI HAMBA YANG INGKAR DAN TAKBUR ATAS ANUGERAH YANG DILIMPAHKAN . JADIKAN JUGA AKU SEORANG YANG SENTIASA MENJALANKAN SEGALA PERINTAH YANG TELAH ENGKAU TITIPKAN DALAM KALAMMU ITU......AMIN..."




HARGAILAH DAN BERSAMA SAMALAH  KITA MEMBANTU INSAN YANG ISTIMEWA DI SISI ALLAH.





INSAN INSAN YANG ISTIMEWA MEMPUNYAI HAK SEPERTI KITA 

Tuesday, 29 November 2011

KETIKA KU BERSUJUD..



Hati lebih berharga dari segala perkara yang berada di dunia . Hati menyimpan kecerdasan dan kearifan kita paling dalam . Ia adalah fokus makrifat ataupun pengetahuan rohani..Apabila mata hati kita terbuka , maka kita mampu menerobos di sebalik penampilan luaran segala sesuatu yang palsu . Apabila telinga hati kita tebuka , kita dapat mendengar kebenaran yang tersembunyi disebalik kata kata yang diucapkan.

Apabila hati seseorang buta ataupun terkunci , maka hatinya menjadi lalai dan berasa sangsi kepada kewujudan Allah . Mata hatinya terbalik . Hatinya lupa berzikir atau mengingati Allah . Dia suka menangguhkan perbuatan baik . Hatinya terasa sempit dan sesak , seolah olah sedang mendaki langit. Hatinya berpaling kepada kebenaran . Penyakit hatinya bertambah parah .



Ada empat jenis hati ....Pertama , hati yang bersih . Didalamnya terdapat cahaya yang bersinar . Ini hati orang yang beriman . .....Kedua , hati yang tertutup . Inilah hati orang kafir ......Ketiga , hati yang diabaikan . Inilah hati orang munafik . ...Keempat , hati yang dalamnya bercampur dua perkara iaitu iman dan kemunafikan.

Kita perlu sentiasa mempernaharui hati supaya ia menjadi hati yang bersih . Hati berisi cahaya yang menerangi perilaku manusia, tindakan atau perbuatannya . Ini kerana menurut Nabi .." Apabila hati itu baik , maka baiklah seluruh anggota badan . Sebaliknya , apabila hati itu rosak , maka rosaklah seluruh anggota badan".

Sunday, 20 November 2011





Ibu bapa akan sentiasa berusaha agar puteri mereka dijodohkan dengan lelaki soleh . Wanita yang tergolong  "sedikit nakal " sekalipun tetap ingin bersuamikan lelaki soleh . Suami yang sentiasa menyayanginya , melimpahkannya dengan cinta , kasih , melayaninya seperti seorang ratu , memenuhi segala keperluan batin dan zahiriahnya sedaya kemampuan dan ...dan...dan seterusnya.Namun semua hasrat dan keinginan itu akhirnya bertentangan dengan dua realiti berbeza .



Pertama , salah faham dalam memahami makna 'soleh ' sehingga seorang wanita terkadang menginginkan seorang lelaki soleh sebagai suaminya yang dia harapkan akan memenuhi segala apa yang dia inginkan dan apabila dinikahkan dengan lelaki yang soleh , wanita itu  mengalami tekanan yang berat kerana banyak hal yang disukainya itu dilarang oleh suaminya.

Kedua , Salah dalam meneka dan meramal calon suami melalui ciri ciri dan karakter soleh yang kelihatan secara lahiriah . Hal yang kedua ini dialami ibu bapa yang menginginkan menantu yang soleh .

Setelah berumahtangga , terserah hakikat dan realitinya bahawa dia sama sekali bukanlah lelaki soleh . Hingga jauh lebih tidak soleh daripada sebahagian lelaki yang pernah dia lihat dan pandang . Malah sebagai lelaki yang jauh dari kehidupan beragama.Situasi demikian sering terjadi . Hakikatnya lelaki soleh adalah rahmat terbesar bagi seorang wanita.

Sabda Rasullullah , " Apabila datang kepada kalian seorang pemuda yang kalian sukai agama dan akhlaknya , maka nikahkanlah dia dengan puteri kalian . Sekiranya tidak , maka akan terjadi bencana dan kerosakan yang besar di muka bumi ini "

Saturday, 19 November 2011

STAND COLD...bekalkan diri dengan ketenangan.





Stand cold, Itu rumus paling asas dalam membina keluarga agar mampu memberi hasil yang optimum.
Hidayah, tentu sahaja ia datang daripada Allah S.W.T. Namun segala hal yang mungkin , harus tetap
 diusahakan . Dengan cara yang lebih baik , pasti hasil yang dicapai akan lebih baik . Betapapun hasil itu belum mampu memuaskan hati kita .



Sikap tenang itu perlu kerana seorang suami bakal dihadapkan pada peribadi isteri yang mudah berubah rubah , mudah menerima provokasi dari persekitarannya , memiliki perasaan yang sangat halus , dan di suatu waktu boleh membara hingga terhembur apabila sudah dilanda emosi dan kemarahan memuncak .



Maka wajarlah apabila Rasullullah  berpesan  , " Layanilah wanita itu dengan baik kerana wanita itu diciptakan dari tulang rusuk . Sementara bahagian tulang rusuk yang paling bengkok adalah yang paling atas . Jika kita tergesa gesa membetulkannya , ia akan patah . Tetapi kalau dibiarkan , ia akan tetap bengkok . Maka perlakukanlah kaum wanita dengan baik "

Friday, 18 November 2011








Sabda Rasullullah ...." Setiapkali seorang wanita menyakiti suaminya di dunia ini , pasti calon isteri suaminya dari kalangan syurga akan berkata, " Jangan sekalil kali engkau menyakitinya . Apabila engkau nekad melakukannya , semoga Allah membunuhmu . Dia ( suami )  hanya kiriman sementara buat dirimu , tidak lama lagi dia akan meninggalkanmu dan menemui kami "

Ertinya , apabila seorang wanita bekerja keras membahagiakan suaminya , nescaya para bidadari syurga itu akan mendoakan kebaikan kepadanya . Nescaya keberkatan dari langit akan turun bak siraman hujan yang membasahi sanubari wanita tersebut , sehingga terpancar sinar kebahagiaan . Ia akan menjadi sebuah kenyataan indah yang diidam idamkan. Kebahagiaan itu sendiri , tidak lain adalah balasan Allah bagi isteri yang telah membahagiakan suaminya.



An Nisa" : 128 ......Dan kebajikan apa sahaja yang kamu kerjakan , maka sesungguhnya Allah Maha
                              Mengetahuinya "

Seperti telah ditegaskan sebelum ini , suami adalah tetangga terdekat bagi seseorang isteri begitu juga sebaliknya . Sementara iman seseorang , harus dibuktikan dengan perbuatan baiknya terhadap tetangga . Suami atau isteri , adalah yang paling berhak mendapatkan berkat kebaikan tersebut . Adalah suatu kebahagiaan yang tidak ternilai harga apabila seorang isteri mampu mencetak dirinya menjadi sumber kebahagiaan keluarganya terutama sekali untuk suaminya tercinta .

Tuesday, 15 November 2011

ROMANTISLAH..



ROMANTISME  dalam kehidupan pasangan suami isteri adalah nyawa keharmonian rumahtangga yang selalu diidam idamkan setiap orang . Maka tiada romantisme lebih hebat diantara dua insan bernyawa daripada romantisme sepasang suami isteri. Dan dalam rumahtangga , kita berinteraksi dengan jenis makhluk yang memiliki tingkat kepekaan yang paling tinggi , perasaan yang lebih halus dan keperibadian yang lebih rapuh. Manusia itu adalah wanita.



Oleh itu..sang suami wajib belajar untuk jadi romantis. Paling tidak menjadi sedikit romantis dan semakin romantis dari hari ke hari , kerana disitulah , jiwa kemanusiaan kita akan bertemu dengan jiwa kewanitaan isteri. Dari situlah hubungan akan terjalin dengan baik dan kerananya keharmonian hidup rumahtangga akan dirasai.

Suami boleh sahaja mengucapkan berkali kali kepada isteri bahawa dia mencintai isterinya tetapi tanpa romantisme , kata kata itu akan menjadi kering dan kurang bermakna. Romantisme itu harus mengalir dalam kehidupan sehari hari melalui kata kata , ungkapan , panggilan atau sapaan , dengan pacaindera , juga melalui hubungan psikik hingga kepada hubungan seksual.



Jadi belajarlah menjadi romantis , cuba bayangkan betapa suramnya hidup , memiliki belahan jiwa yang tidak lagi mahu mengambil tahu keadaan kita . Perhatian tiada , kasih sayang pula tinggal kenangan semata mata . Rumahtangga menjadi hambar , tidak berperasaan . Ada cinta tapi cuma hanya dalam kata kata , namun realitinya kosong bahkan hilang dari dunia nyata . Suami menghilang tidak ada yang mencari , sedang isteri sibuk dengan urusannya sendiri. Hidup di dalam satu rumah , tapi jiwa dan fikiran menjauh dan semakin terpisah . Ini harus diubah....

Friday, 11 November 2011

KEMUDI DESTINASI BAHAGIA..

Selagi nyawa dipinjamkan oleh Allah SWT , selagi itulah manusia harus meneruskan kehidupan walau apa jua cabarannya . Anak...mereka adalah anugerah yang selayaknya mendapat kasih sayang dan kita juga harus melaksanakan tanggungjawab mendidik sebagaimana yang diamanahkan oleh Allah . Maka , wahai ibu bapa , pimpinlah anak anak kita menjadi insan yang soleh dan solehah dan berpekerti mulia . Ingatlah , setiap apa yang diajari kepada mereka , akan disoal kembali di akhirat kelak.



Jika baik pimpinan , maka baiklah balasannya . Jika buruk ajarannya , maka binasalah diri kita kelak . Peranan ibu bapa bukan sahaja memberi rezeki , didikan dan kasih sayang semata mata , bahkan perlu menjadikan mereka sebaik baik khalifah Allah di muka bumi ini. Sebagaimana sabda Rasullullah s.a.w. : Setiap kamu adalah pemimpin dan kamu kan dipersoalkan setiap apa yang kamu pimpin "

Ya atau tidak , kebahagiaan itu milik setiap insan, cuma ia terpulang pada diri kita sendiri bagaimana untuk mewarnainya .Renung renungkanlah bingkisan dibawah ini , mudah mudahan menjadi wadah peringatan dan nasihat kepada semua dan diri saya sendiri..

" Tidak perlu mencari teman secantik balqis , jika diri tidak seindah Sulaiman . Mengapa mengharap teman setampan Yusuf , jika kasih tidak setulus Zulaikha . Tidak perlu diri menjadi seteguh Ibrahim , jika tidak sekuat Sarah . Mengapa didamba teman hidup seistimewa Khadijah , jika diri tidak sesempurna Rasullullah s.a.w".

Fikir fikirkanlah....." AKU TERIMA NIKAHNYA...." lafaz ijab dan kabul seorang suami , tanda halalnya suatu perhubungan . Doa dipohon agar keberkatan mewarnai kebahagiaan, semanis iman Siti Khadijah di sisi Rasullullah . Azam dipahat , mahu menjadi isteri solehah bersulamkan cinta dan taqwa , menegakkan syariat dalam kehidupan . Moga ikatan suci ini dianugerahkn zuriat soleh , pengikat kasih penyeri kebahagiaan .


Namun , lumrah hidup....andai sesekali musibah menerjah , tergugatkah iman , tercalarkah ketakwaan?? . Andai masih kenal erti syukur , alhamdulillah .....pasti tidak mudah melatah kerana yakin bahawa ujian itu adalah perlambangan kasih sayangNYA . Ranjau hidup ini mesti ditempuh , kepada Ya Rabb dipohon ketenangan..

Tuesday, 8 November 2011

HARGAI MEREKA DI SEKELILINGMU



         Setiap insan mempunyai kehebatan , mereka adalah khalifah Allah yang terpilih . Fahamilah bahawasanya yang ada di sisimu sudah termaktub dalam kitabNYA yang azali, telah disusun oleh Allah yang Maha Bijaksana. Mereka ditetapkan menjadi suami , isteri , anak anak , adik beradik , saudara dan sahabat kita di alam ini. Jangan memandang rendah akan kekurangan mereka . Mungkin kekurangan mereka itu yang menjadikan diri kita kuat. Mungkin disebabkan kekurangan  mereka itulah juga yang menolak kita ke syurga kerana keberkatan kesabaran kita keatasnya.

         Hargailah kekuatan mereka . Kekuatan itulah yang membantu kelemahan kita  dan membawa kita ke syurga . MEREKA ADALAH PASUKAN PILIHAN ALLAH PADA KITA . PILIHAN ALLAH ADALAH YANG TERBAIK . BERSAMALAH DENGAN MEREKA KETIKA SUSAH DAN SENANG.Setiap dari mereka ada hak atas diri kita di dunia dan akhirat . Mereka boleh membawa kita ke syurga dan mereka juga boleh mengheret kita ke neraka . Hargailah setiap insan yang ada disisi kita , sayangi mereka , hulurkan tangan   ketika mereka memerlukan bantuan dan berkorban lah demi kasih sayang.

Berhati hati lah dengan syaitan yang sentiasa cuba memecahkan pasukan pilihan ALLAH. Sesungguhnya kita memerlukan mereka dan mereka memerlukan kita dalam kehidupan yang penuh penderitaan dan cabaran.

" Sesungguhnya manusia sangat tidak bersyukur akan nikmat Tuhannya.." AL- ADIYAT - 6

Monday, 7 November 2011

ANAK ITU AMANAH ALLAH..



Berapa ramai ibu bapa yang kecewa , menghantar anak menuntut ilmu agar dapat bergantung hidup kepada mereka apabila bekerja kelak , namun malangnya anak tidak mempedulikan mereka. TERKELIRU..adakah mereka cintakan ilmu atau cintakan pembalasan??. PENGORBANAN MEMBERI ILMU PADA ANAK ANAK ADALAH JIHAD , NAMUN SEGALA PENGORBANAN ITU AKAN SIA SIA DI SISI ALLAH JIKA TERDAPAT KESYIRIKAN.

Jangan bergantung masa depan dan rezeki dengan anak anak , bergantunglah dengan Allah dalam setiap urusan .Sesungguhnnya Allah adalah sebaik baik jaminan. Amat dibimbangi, Allah akan mencabut keberkatan kerana niat yang salah , lalu hilanglah kasih sayang anak anak dlam hati mereka terhadap ibu bapanya. Walaupun pada zahirnya kelihatan baik tetapi hati mereka mendoakan kematian , kerana merasakan ibu bapa menyusah dan menjadi beban kepada mereka . Ada yang membiarkan ibu bapa meringkuk kesusahan dalam meniti hari hari tua.


Ingatlah , anak anak adalah amanah Allah, memberi ilmu kepada mereka adalah menunaikan ibadah kepadaNYA. Tidak terungkit ianya sebagai jasa, bahkan ia merupakan kewajiban dan membiarkan mereka jahil adalah satu dosa. Ikhlaslah dan bergantunglah kepada Allah dalam kehidupan. Jangan bergantung kepada sesiapa walaupun kita banyak berjasa kepada mereka. Allah yang menjamin dan memberi rezeki , DIA lah sebaik baik penjamin.

" Apakah mereka mengira bahawa harta dan anak anak yang KAMI berikan kepada mereka itu ( bererti bahawa ) KAMI segera memberikan kebaikan kebaikan kepada mereka ? Tidak! , sebenarnya mereka tidak menyedarinya "..AL MUKMINUUN ayat 55-56

DIA jadikan orang disekelilingmu menyayangi dan tidak lupa kepadamu walaupun engkau tidak mengharap balasan atas kebaikan yang kamu lakukan . Sesungguhnya segala hati manusia dalam gengamanNYA. Jangan syirik kepadaNYA, nanti kita akan menderita dunia dan akhirat....

KEBENARAN MENGATASI SEGALANYA...




    Khianat bagaikan letupan gunung berapi. Ramai yang menangis kerana dikhianati. Pengkhianat adalah golongan yang disayangi, diberi kepercayaan dan tiada rahsia yang disembunyikan . Tiba tiba segala kebaikan dan kepercayaan itu dihancurkan dengan sekelip mata . Segala rahsia peribadi dibongkarnya , segala kebaikan ditutup dan keaiban dibuka , kasih sayang lebur dengan kebencian , teman menjadi musuh . Ketika itu gelap pandangan dunia , hati bagaikan dihiris pisau malah kepedihannya lebih mendalam lagi. Tiada ucapan yang mampu dinyatakan melainkan kelu dan tergamam . Hanya airmata yang mengalir sebagai fitrah apabila dirundung kesedihan . Namun ingatlah , airmata yang dicurahkan tidak menyelesaikan masalah.



Renungkanlah , adakah ia ujian atau musibah bagi dirimu? . Jika engkau di pihak yang salah , maka bertaubatlah . Namun jika engkau dipihak yang benar , kembali segera pada Allah dengan memohon petunjukNYA. Gunakan keimanan dan kebijaksanaan akalmu untuk bertindak. Bangunlah di waktu malan dan munajat padaNYA selama 40 hari, insyallah kita akan diberi pertolongan oleh Allah dan dihancurkan segala pengkhianatan ke atasmu . KEBENARAN AKAN MENGHANCURKAN KEBATILAN.

Bersihkan dirimu . Banyakkan berzikir dan berdoa dengan bersungguh sungguh . Jangan berharap kepada sesiapa, munajatkan sungguh sungguh hajatmu dengan suara yang mendayu dayu agar dikembalikan kasih sayang dan terangkatnya segala khianat dan fitnah. Bertawakal kepadaNYA dengan penuh hati. Buangkan rencana untuk membalas dengan cara yang buruk . Usah dilayan gerak hati yang liar . Insyallah akan datang bantuan daripadaNYA dari jalan yang tidak kita sangka sangka . Kita akan melihat bagaimana kehancuran itu berlaku.

Sesungguhnya jika jalan penyelesaian ini yang kita pilih , kita mendapat dua keuntungan , iaitu Pertama , memperolehi pahala dan kemenangan dia akhirat kerana kesabaran . Kedua , kemenangan di dunia di mana kebencian akan tersungkur di pintu kasih sayang . Namun jika ditakdirkan semua terus memusuhimu , redalah. SETIAP YANG BERLAKU ADALAH DALAM TAKDIRNYA DAN SETIIAP TAKDIRNYA MEMILIKI RIBUAN HIKMAH.

Friday, 4 November 2011

PANGGILAN DARI ILLAHI....BERAKHIRNYA SATU PENGHIDUPAN DI DUNIA DAN BERMULANYA PENGHIDUPAN YANG KEKAL ABADI



 

 Sesungguhnya , mati itu pasti . Apabila peringatan itu ditanam dalam jiwa , ia mampu mendidik hati supaya lebih bijak untuk merancang kehidupan yang sementara sebelum berpindah ke alam yang seterusnya . Berusahalah meningkatkan keimanan , ketakwaan dan ketaatan kepada Allah dengan memperbanyakkan amal ibadat dan berbuat kebajikan , kerana itulah bekalan akhirat kelak. Bagaimana pula dengan segelintir individu lyang tidak mengingati  mati ??..Selalunya mereka yang bersikap sedemikian adalah yang leka dari mempersiapkan diri untuk menghadap ILAHI.

   


Sedarlah , betapa ruginya mereka yang berada dalam keadaan sedemikian . Bertaubatlah dengan segera tanpa bertangguh kerana ajal akan tiba jua . Mungkin esok atau lusa , tiada siapa yang tahu . Allah jualah Maha Mengetahui segala yang tersembunyi ..Hakikatnya setiap manusia pasti akan menemui mati dan ia menjadi fasa kehidupan yang wajib dilalui oleh setiap insan yang bergelar manusia ....Tanah yang basah berwarna merah , semerah mawar dan juga rindu , tujuh langkah pun berlalu , seusai talkin bermadah syahdu , tenang dan damai di pusaramu . Nisan batu menjadi tugu , namun tak siapa pun tahu resah penantian mu..Ajal yang datang dibuka pintu , tiada siapa yang memberitahu , tiada siapa yang dapat hindari , tiada siapa yang terkecuali , lemah jemari nafas terhenti. Tidak tergambar sakitnya mati , cukup sekali tak sanggup untuk diulangi.



   

Jantung berdegup kencang menantikan malaikat datang , menggigil ketakutan  , gelap pekat dipandangan . Selama ini diceritakan , kini kau merasakan ....di alam barzakh jasad dikebumikan..diperhitung amalan , penentu syurga atau sebaliknya...

Thursday, 3 November 2011

CINTA DAN KEBAHGIAAN HIDUP.

   

      Manusia tidak dapat menafikan tentang kepentingan cinta dalam kehidupan . Cinta , kasih dan sayang merupakan antara sumber kebahagiaan seseorang namun , cinta dan sayang tidak boleh dibina tanpa asas yang kukuh . Seseorang yang bijak akan memastikan cinta yang diperolehi adalah sesuatu yang sangat berharga dalam kehidupannya. ..THERE IS ONLY ONE WAY OF HAPPINESS IN LIFE : TO LOVE AND BE LOVED.  Maksudnya , disana ada satu sahaja jalan menuju kebahagiaan dalam kehidupan iaitu mencintai dan dicintai...namun cinta itu sendiri bukan semuanya mempunyai nilai yang sama , bahkan berbeza beza. Lebih dari itu ,bukan semua yang dikasihi dan diingini oleh manusia adalah satu kebaikan buat diri mereka kerana kadang kala apa yang diingini dan dicintai oleh mereka sebenarnya adalah satu kemudaratan.

      Islam mengajar asas cinta dan benci dalam kehidupan , agar tidak berdasarkan emosi dan kehendak kita semata mata . Asas cinta dalam kehidupan sebagaimana dalam hadith tersebut adalah ..CINTA KEPADA ALLAH DAN RASUL ADALAH YANG TERTINGGI ....CINTA KEPADA MAKHLUK KERANA ALLAH...BENCI KEPADA KEKUFURAN. Seseorang yang mencintai dunia , dia sendiri akan meninggalkannya . Seseorang yan gmencintai manusia , mereka akan saling berpisah dengan kematian. Seseorang yang mencintai harta , ianya akan menjadi harta warisan kepada ahli waris setelah dia mati kelak ..Jadi, apa yang dicari daripada apa yang akan ditinggalkan.

    Hubungan cinta teragung lagi kekal adalah hubungan dengan Allah sebagai Tuhan yang Maha Pencipta dan Rasulullah sebagai pembawa risalahnya .Maka , cinta kepada kedua duanya  adalah asas kepada kebahagiaan abadi . Seseorang boleh mencintai sesiapa dan ingin dicintai oleh sesiapa tetapi TIADA sesiapa yang mampu mengganti keagungan cinta Allah dan Rasullullah kepada kita.

WARKAH UNTUK ANAK KU...

Ingatlah anak ku , sejauh mana dan sedalam mana pun kasih sayang antara kita , akhirnya akan terpisah jua. Usah dikira perpisahan dek tuntutan kerana ia sentiasa terjadi. Tetapi perpisahan abadi akan berlaku hanya sekali dan tiada lagi perjumpaan seterusnya. Mungkin juga mama atau papa yang akan mendahului kamu. Sesungguhnya , nyawa dan dunia ini hanyalah pinjaman dari Allah yang bersifat sementara. Akhirat jua yang berkekalan ...Kejarlah masa dan isilah kehidupan dengan perkara yang bermanfaaat agar dapat dijadikan ' saham ' dan ' pelaburan' untuk kehidupan hakiki kelak. Gunakanlah akal yang dikurniakan Allah itu dengan sebaiknya agar kalian lebih jelas dengan matlamat hidup dan dapat menyelusurinya tanpa ragu. Malah dapat mengatur langkah dengan yakin , wibawa , cergas dan tangkas dalam membina kecermelangan.

             Untuk kesekian kali dan seterusnya mama sentiasa berdoa ..." Ya Tuhan ku, jadikanlah aku dan anak cucuku orang yang tetap mendirikan solat . Ya Tuhanku perkenankan lah doa kami"..amin....jagalah budi pekerti kerana tiada gunanya kecemerlangan diri tanpa akhlak yang mulia. Hormatilah jua sesiapa sahaja yang berada di kelilingmu sama ada sahabat , guru, orang tua atau muda. Jadilah seperti resmi padi, iaitu semakin berisi , semakin menunduk agar dirimu jua akan dirahmati kelak...mudah mudahan anak anak mama akan menjadi insan yang soleh dan solehah dan bertakwa ..amin....salam kasih yang berpanjangan....

HARGA SEBUAH PENGHIDUPAN...




  Usia yang pantas berlalu memahamkan kita bahawasanya hidup ini sesungguhnya adalah satu perjalanan. Detik detik usia yang berlalu menandakan semakin sedikit baki tempoh hidup yang tersia dalam perjalanan  menuju tamat yang pasti iaitu kematian. Manusia yang membiarkan sahaja usianya berlalu tanpa memahami kemana hala tuju kehidupannya seumpama seseorang yang memandu kenderaannya dijalanraya tanpa destinasi tertentu. Perjalanan tanpa matlamat dan tujuan adalah sesuatu yang sia sia dan satu pembaziran...Jadi sebelum bertemu mati..manusia wajib berusaha untuk memahami tujuan dia hidup dimuka bumi ini. Hidup tanpa tujuan adalah suatu kepalsuan . Jiwa manusia akan dihimpit rasa kekosongan tanpa mengetahui apa yang sebenarnya ingin dicari dalam perjalanan hidup ini..sedangkan kematian tidak menamatkan jiwa kehidupan. Maka sesiapa yang inginkan kehidupan yang sejahtera setelah kematian , hendaklah dia menunaikan tugas kehambaan selagi masih dianugerahi usia kehidupan.....